Rahmad Mariman

MELAKA – Pasangan yang dijatuhi hukuman penjara 28 hari dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh Rabu lalu selepas mengaku bersalah mencuri 24 paket Milo dan Nescafe kononnya untuk menampung kos rawatan dialisis ibu sejak Mei lalu adalah penipu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman mendedahkan ibu pelaku lelaki yang kononnya perlu menerima rawatan dialisis itu sebenarnya hanyalah penghidap penyakit kencing manis.

“Status kesihatan ibu lelaki itu disahkan selepas Skuad Agihan Zakat cawangan Merlimau bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) hadir ke rumah wanita berkenaan di Kampung Berangan Enam, semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Timbalan Pengerusi Zakat Melaka terpaksa tampil membuat penjelasan selepas kedua-dua agensi itu menerima pelbagai kecaman negatif daripada masyarakat selepas keputusan mahkamah mengenai kes berkenaan dilaporkan MalaysiaGazette.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2024/08/28/curi-milo-nescafe-untuk-dialisis-ibu-pasangan-suami-isteri-dijel-28-hari/

Dalam pada itu, Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, semakan juga mendapati pasangan berkenaan adalah kekasih dan bukannya suami isteri.

“Berdasarkan rekod MAIM, pelaku lelaki juga pernah hadir ke kaunter pejabat zakat dan menerima bantuan kecemasan pada tahun 2022.

“Suami (sebenar) pelaku wanita ini pula merupakan penerima bantuan aktif MAIM yang menerima Bantuan Makanan Kecemasan (one-off), Bantuan Makanan Bulanan, Bantuan Saraan Anak Sekolah dan juga Bantuan Pakaian Sekolah yang berjumlah RM940 sejak 2018 hingga kini,” katanya.

Tambahnya, suami wanita itu juga mendakwa isterinya telah melarikan diri dari rumah untuk bersama kekasihnya iaitu pelaku lelaki.

Kenyataan media yang dikeluarkan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka

Sementara itu dalam perkembangan lain, Rahmad berkata, agihan zakat yang diuruskan oleh MAIM adalah sebanyak
29 skim yang meliputi pelbagai bantuan dan kategori asnaf.

Antaranya adalah bantuan makanan bulanan, sakit kronik, sakit terlantar, orang tua terlantar, anak sekolah asnaf dan rawatan dialisis.

Pada Julai lalu, MAIM merekodkan seramai 7,869 penerima bantuan makanan bulanan merangkumi 140 asnaf fakir dan 7,729 asnaf miskin melibatkan peruntukan sebanyak RM1.6 juta sebulan.

“Manakala seramai 240 asnaf pula menerima bantuan dialisis MAIM dan sehingga Julai 2024, kita telah membelanjakan wang zakat berjumlah RM480,000 untuk membiayai bantuan rawatan dialisis.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast