Tertuduh, Lee Pey Loo, 27 tidak mengaku bersalah atas 65 pertuduhan pecah amanah jenayah di Mahkamah Sesyen 2, Kuantan hari ini

KUANTAN – Seorang pembantu jualan kedai pajak gadai mengaku tidak bersalah atas 65 pertuduhan pecah amanah harta syarikat melibatkan kerugian hampir RM700,000 di Mahkamah Sesyen 2, di sini hari ini.

Tertuduh, Lee Pey Loo, 27, membuat pengakuan itu dihadapan Hakim Sazlina Safie.

Menurut kertas pertuduhan, Pey loo didakwa melakukan pecah amanah jenayah bagi kegunaan sendiri dengan mengambil emas yang dipajak oleh 39 orang pelanggan berbeza dari premis tempat dia bekerja di Jalan Pasar, di sini pada 6 Ogos lepas sekitar jam 12.30 tengah hari sehingga 2.00 petang.

Tertuduh kemudiannya didakwa memajak kesemua emas tersebut yang terdiri daripada barangan kemas serta jongkong emas untuk dipajak semula di beberapa premis pajakan lain di sekitar daerah ini.

Bagi kesalahan terbabit, dia dituduh di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 14 tahun, sebatan dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ezuain Farhana Ahmad manakala tertuduh diwakili Peguam Mohd Shuhairil Ziqrul Sapi.

Ezuain memohon tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di Balai Polis Kuantan setiap bulan dan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon agar mahkamah mempertimbang untuk mengenakan wang jaminan minimum kerana anak guamnya yang telah berhenti bekerja.

“Saya mohon izin kemukakan alasan bagi pertimbangan mahkamah iaitu berkenaan faktor peribadi tertuduh.

“Tertuduh yang bujang berusia 27 tahun sebelum ini memperoleh gaji sebanyak RM1,500 sahaja sebulan dan baru sahaja berhenti kerja. Dia mempunyai tanggungan kedua ibu bapa.

“Selain itu, tertuduh juga terbukti memberi kerjasama hadir ke mahkamah hari ini meskipun telah dilepaskan dengan jaminan polis sebelum ini,” kata Shuhairil.

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin berjumlah RM71,500 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin selain syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan dan menetapkan 2 Oktober depan untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast