Khairil Nizam Khirudin.

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan Anthony Loke mesti tampil memberi penjelasan mengenai krisis penerbangan yang sedang melanda Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang kini semakin meruncing.

Perikatan Nasional (PN) menerusi Khairil Nizam Khirudin berkata Malaysia Airlines sering menghadapi masalah jadual penerbangan dan ia menjejaskan penumpang khususnya rakyat Malaysia yang sentiasa memberi sokongan kepada syarikat penerbangan negara kita ini.

“Kecelaruan operasi yang sedang melanda Malaysia Airlines merupakan krisis yang serius dan memerlukan intervensi dari pihak kerajaan dengan serta merta bagi membantu pihak Malaysia Airlines kembali ke landasan operasinya yang asal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Idris berkata demikian mengulas kenyataan Anthony mengenai masalah komponen mekanikal dan kekurangan tenaga pekerja mahir adalah antara isu signifikan yang menyumbang kepada beberapa insiden teknikal pesawat MAB.

Dalam pada itu, Khairil Nizam yang juga Ketua Portfolio Pengangkutan PN turut menuntut penjelasan daripada Khazanah Nasional untuk menjawab dakwaan krisis yang dihadapi MAB.

“Khazanah sebuah entiti yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjawab dakwaan bahawa krisis yang melanda Malaysia Airlines hari ini adalah berpunca daripada kehadiran SIA Engineering Company Limited (SIAEC) daripada Singapura yang memajak hangar kapal terbang kita di Subang, sekaligus menyebabkan kekeringan tenaga kerja dalam sektor penerbangan kita akibat penghijrahan besar-besaran ke SIAEC,” tegas Khairil lagi.

Menurut kenyataan Khairil, pajakan tersebut berlangsung selama 15 tahun.

Oleh yang demikian, Khairil berkata PN mempersoalkan apakah persediaan yang dibuat oleh kerajaan untuk menangani isu ini serta langkah-langkah yang telah disusun untuk membantu Malaysia Airlines.

“Sekiranya dakwaan ini benar, langkah Khanazah mengundang SIAEC ke Malaysia bukan sahaja dapat menarik pelaburan baharu, tetapi dalam masa yang sama sedang membahayakan struktur ekosistem penerbangan kita yang akhirnya boleh menjejaskan keselesaan rakyat Malaysia,” kata Khairil lagi.

Rabu lalu, Anthony berkata 63 daripada 411 pekerja MAB Engineering Services (MABES) yang boleh memperakukan perihal selamat pesawat penerbangan dikenal pasti sudah berhenti dan berhijrah ke tempat lain, sejak Januari lalu.

Anthony turut berkata hasil dapatan itu dikenal pasti menerusi siasatan dilakukan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) ke atas MAB dan MABES, antara 24 hingga 28 Jun lalu.

Oleh yang demikian, MAB diarah mengemukakan laporan bulanan mengenai status pelaksanaan pelan mitigasinya bagi memastikan aspek pematuhan, selain tempoh pembaharuan Sijil Perakuan Pengendali Udara (AOC) dikurangkan daripada tiga tahun kepada setahun sahaja.  – MalaysiaGazette