KUANTAN – Lima projek pembangunan di Pahang mengalami kelewatan sehingga Julai lalu, kata Setiusaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Zulkifli Yaacob.
Menurut beliau, ia merupakan sebahagian daripada 249 projek yang dilaksanakan di negeri itu melibatkan peruntukan sebanyak RM374.972 juta
“Kerajaan Negeri Pahang memandang serius terhadap sebarang kelewatan projek yang telah diluluskan kepada pemaju untuk disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
“Ini kerana kegagalan menyiapkan projek-projek yang diluluskan akan menjejaskan pembangunan negeri yang telah dirancang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Berikutan itu, katanya, kerajaan negeri memutuskan bahawa setiap projek yang dilaksanakan hanya dibenarkan Lanjutan Masa sebanyak tiga kali sahaja.
Jelas beliau, kegagalan menyiapkan projek dalam tempoh tersebut akan mengakibatkan pemaju boleh disenarai hitam dan dilaporkan kepada pihak Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Zulkifli berkat.a projek-projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang dilaksanakan Agensi Persekutuan membabitkan kos RM3.1 bilion akan dipantau rapi Pejabat Pembangunan Negeri Pahang.
Jelasnya, pemantauan akan dilaksana Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg), Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Negeri (JTPNg) dan Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD). – MalaysiaGazette