Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming bercakap pada Temubual Eksklusif Pencapaian Separuh Tahun KPKT di KPKT Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 02 OGOS 2024.

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bertekad mencapai matlamat `Shelter for All’ dengan berusaha gigih meningkatkan ketersediaan rumah mampu milik terutama untuk golongan berpendapatan rendah yang tinggal di kawasan bandar.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, komitmen itu termasuk memastikan rumah-rumah itu bukan sahaja mampu milik tetapi berkualiti tinggi, selesa dan terletak di lokasi yang strategik.

Ujar beliau, KPKT memperuntukkan hampir RM1 bilion setiap tahun untuk pelbagai inisiatif perumahan sosial yang mana bagi tahun ini, sebanyak RM546 juta diperuntukkan bagi Program Perumahan Rakyat (PPR) dan RM358 juta untuk Rumah Mesra Rakyat.

“Selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kerajaan komited untuk menyediakan 500,000 unit perumahan mampu milik kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau agama.

“Inisiatif ini diterajui oleh agensi seperti Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang komited untuk membina sekurang-kurangnya 5,000 unit masing-masing setiap tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam supaya pembangunan projek perumahan mampu milik di ibu kota disegerakan bagi memenuhi permintaan yang tinggi khususnya daripada golongan B40 dan M40.

Berucap pada Majlis Perasmian dan Pecah Tanah Residensi Suria Madani di Taman Desa di sini, Anwar berkata, pembangunan itu juga perlu memenuhi kriteria rakyat seperti kemudahan fasiliti termasuklah aspek keselesaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Kor Ming berkata, kajian oleh Institut Kajian Khazanah pada 2023 yang membabitkan 3,800 isi rumah di lima PPR mendapati, lebih 60 peratus responden menyatakan mereka berpuas hati dengan tahap keselesaan di PPR secara umum.

“Ini hanya langkah permulaan. Kami sedang berusaha untuk menjenamakan semula program PPR kepada Program Residensi Rakyat (PRR) dan memperkukuh inisiatif ini untuk memastikan ia bertaraf antarabangsa setanding dengan program perumahan sosial di negara maju seperti Singapura dan Jepun,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast