Ahli Parlimen Batu P Prabakaran

KUALA LUMPUR – Seramai 104  peniaga di Jalan Masjid India, di sini, berhasrat mengadakan pertemuan dengan wakil kerajaan untuk membincangkan isu berkaitan insiden tanah jerlus di kawasan tersebut yang memberi kesan kepada perniagaan mereka.

Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran berkata, suara peniaga itu dizahirkan oleh persatuan penaiga yang mahu membincangkan isu keselamatan dan masa depan perniagaan mereka yang terkesan dalam tempoh operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan.

“Peniaga di sini mengakui kehilangan pendapatan sehingga 70 peratus sejak insiden itu pada 23 Ogos lepas, tetapi peniaga lebih bimbang kepada keselamatan diri dan keluarga mereka yang berada di sini setiap hari.

“Mereka bangkitkan perlu ada perbincangan khas dengan agensi kerajaan termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Indah Water Konsortium (IWK) dan Pejabat Menteri (Wilayah Persekutuan) untuk dapatkan maklumat terkini berkaitan isu ini,” katanya ketika sidang media, di sini, hari ini.

Pada 23 Ogos, seorang wanita warga India, Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Katanya, komuniti perniagaan turut mencadangkan agar diadakan satu libat urus bagi mencari penyelesaian jangka panjang. – MalaysiaGazette