PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan rasa gembira dengan kelancaran program sambutan Hari Kebangsaan ke 67 yang dibuat di Dataran Putrajaya hari ini.

Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, rasa gembira itu diucapkan kedua-dua baginda sebelum berangkat pulang.

“Tuanku bertitah baginda sangat gembira dengan perjalanan sambutan hari ini dan berjalan tepat pada masanya,” katanya dalam sidang media selepas berakhir sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya, hari ini.

Kontinjen Batalion Malaysia (MALBATT) melakukan perarakan pada Sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang bertemakan ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ di Dataran Putra, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 31 OGOS 2024

Acara tahunan ini dimulakan tepat jam 8 pagi tadi sejurus ketibaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dengan menaiki kenderaan rasmi.

Bersama memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan negara tahun ini ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Fadillah Yusof dan Jemaah Menteri serta pasangan masing-masing dan perwakilan asing.

Antara aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang melakukan persembahan ketika melintasi ruang udara pada Sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang bertemakan ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ di Dataran Putra, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 31 OGOS 2024

Menurut Fahmi, Kerajaan Perpaduan juga menzahirkan rasa syukur dengan kelancaran sambutan kali kedua penganjuran di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sambutan Hari Kemerdekaan ke-67 telah berjalan dengan baik dan lancar, semua yang telah kita rancang dilaksanakan dengan baik.

“Pengamatan saya sama ada daripada maklum balas daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan jemaah menteri dan warga yang saya santuni, mereka  puas hati dan kita akan usahakan post mortem untuk pastikan tahun mendatang penganjuran akan lebih daripada apa yang kita usahakan pada hari ini,” katanya lagi.

Dua kanak-kanak ini bersemangat memakai pakaian serangam pasukan keselamatan ketika menyaksikan perbarisan pada Sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang bertemakan ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ di Dataran Putra, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 31 OGOS 2024

Lebih 100,000 pengunjung bersama-sama di Dataran Putrajaya  bagi meraikan sambutan hari bersejarah ini.

Bertemakan Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka, sambutan tahun ini juga menyaksikan pembabitan seramai 13,009 peserta persembahan dan perarakan, 112 haiwan dalam perkhidmatan, 439 aset darat dan udara daripada pelbagai agensi di lokasi acara sambutan.

Kontinjen TLDM yang menyertai Sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang bertemakan ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ di Dataran Putra, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 31 OGOS 2024

Acara ini turut dimeriahkan dengan  lintasan hormat lima helikopter yang membawa Jalur Gemilang serta tembakan 14 das meriam melambangkan 14 negeri dalam Malaysia.

Sambutan kemuncak itu menyajikan perbarisan dan perarakan melibatkan lebih 17,000 peserta, 59 kontinjen, 24 pasukan pancaragam serta 439 aset ketenteraan.

Persembahan tarian bertajuk ‘Cuci Rasuah’ turut dipersembahkan sebagai penutup tirai majlis, mencerminkan komitmen Kerajaan Perpaduan membanteras gejala rasuah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast