Wee Ka Siong (tengah) menghadiri Konvesyen MCA Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – MCA kini memberi fokus untuk terus mendampingi rakyat di lapangan dalam usaha mendapatkan dukungan yang diperlukan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kehadiran ahli parti itu di lapangan adalah langkah awal yang penting sebelum memperjuangkan mana-mana kerusi.

Jelas beliau, pihaknya beranggapan tiada guna mempersoalkan mengenai kerusi jika tiada usaha dilakukan untuk memenangkan hati rakyat.

Ka Siong.

“MCA kena memastikan kehadiran orang-orang kita di lapangan supaya dapat mendampingi rakyat secara automatik.

“Sekiranya rakyat telah berkenan untuk memberi doa restu pada orang tersebut itulah dianggap paling penting. Tak guna kita sebut pasal kerusi jika kita tak bekerja atau tak boleh menang.

“Jadi saya rasa kita kena mula dengan gerak kerja sekarang dengan memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dalam apa juga kapasiti kerana menyuarakan keluhan rakyat adalah sebahagian daripada tanggungjawab dan perkhidmatan yang diberikan, bukan semata-mata ketika memiliki kedudukan dalam kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada Konvensyen MCA Pulau Pinang 2024, di sini, hari ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas sama ada MCA sudah bersedia dengan keputusan Barisan Nasional akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRU-16, Ka Siong memaklumkan beliau tidak mahu menyentuh mengenai perkara itu ketika ini.

Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa MCA perlu bersedia dengan gerak kerja yang konsisten bagi memastikan kejayaan dalam pilihan raya akan datang.

“Saya tak mahu masuk bab ini. Saya tahu apa soalannya dan saya tahu apa yang MCA kena buat.

“Kita sebagai manusia bekerja akhirnya tuhan atau takdir akan datang, kemudian kita akan tahu apa nak buat,” katanya. – MalaysiaGazette