KUALA LUMPUR – Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei turut berkongsi kisah inspirasi sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67 negara hari ini.
Menerusi perkongsiannya laman sosial Facebook, Chong Wei menyifatkan Malaysia menjadi paling kuat apabila semua kaum bersama.
Katanya, kita sama-sama bersorak ketika perlawanan sukan dan sama-sama mempertahankan jika ada pihak mengutuk makanan Malaysia.
“Kalo (kalau) badan terkeluar darah, kita sama je. Mana ada darah Cina, Melayu ke India. Semua darah merah jenis A, B, AB atau O.
“Tapi yg (yang) pasti, darah kita semua pasti pernah tertumpah di negara ini. Kita sebenarnya sangat sayang negara kita ni.
“Selamat Hari Kebangsaan, Malaysia tersayangku,” tulisnya.
Terdahulu, menerusi catatan sama, Chong Wei turut mengimbau kenangan bermain bola sepak ketika kecil bersama rakan-rakan pelbagai kaum.
Berikut adalah perkongsian kisah Chong Wei itu yang memaparkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat tanpa mengira kaum dan agama:
“Masa kecik dulu, aku ni minat main bola gak. Letak kasut sebagai tiang gol. Entah kenapa formasi kita sudah ditetapkan,bagai wahyu. Haha. Kawan-kawan Melayu yg lincah main striker atau playmaker. Kawan India yg kaki marathon main winger. Yg Cina main midfield. Yg defend tak kisah kaum. Yg xleh lari sangat tapi pandai belajar, nerd… diala defend. Yg keeper biasalah … Mr Big Show kelas.
“Tula kita masa main bola. Berganding bahu untuk menang. Biasanya main sampai tak tahu malam. Tetiba laungan Maghrib tiba barulah semua berlari balik bagai lipas kudung. Semua takut ibu tak kisah ibu India, Melayu, Cina , bumiputera atau mat salleh. Aku biasanya budak terakhir tinggalkan padang bersama Abeed dan Nagentheran. Aku pemilik bola. Abeed dan Nagentheran pemilik kasut tiang gol”. – MalaysiaGazette