Che Nurul Izzah Che Salim selepas dilaporkan hilang dari kediamannya Seksyen 24, Shah Alam, Selangor pada 16 Februari lalu.

KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta mengesan bekas jururawat dikenali sebagai Che Nurul Izzah Che Salim yang dilaporkan hilang dari kediamannya di Seksyen 24, Shah Alam, Selangor pada 16 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, pihaknya menerima laporan Orang Hilang (OH) itu di Balai Polis Damansara pada jam 9.27 malam

“Che Nurul Izzah yang berusia 36 tahun tinggal Jalan Kesum 24/37 Seksyen 24, Shah Alam. Mangsa pernah berkhidmat di KPJ Damansara sebagai jururawat dan telah berhenti kerja pada 29 Ogos lalu.

“Kakak mangsa memaklumkan adiknya telah keluar rumah bersama anak-anaknya pada 16 Februari lalu dan tidak tahu tinggal di mana.

“Wanita ini sudah bercerai serta mempunyai anak lelaki dan perempuan berusia 11 serta sembilan tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Shahrulnizam, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan mangsa boleh menyalurkannya di balai polis berhampiran.

Ujarnya, maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Inspektor Hafizzul Mohd Noor di talian 016-2236804 atau 03-77222222 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette