Seorang warga emas menyemarakkan semangat patriotil serta meraikan sambutan Hari Kebangsaan dengan menghias kenderaan digunakannya ke kebun dengan Jalur Gemilang di Kampung Parit Tengah, Ayer Hitam, Muar.

MUAR – Seorang warga emas menyemarakkan semangat patriotik serta meraikan sambutan Hari Kebangsaan dengan menghias kenderaan digunakannya ke kebun dengan Jalur Gemilang.

Johari Amin, 67, berkata, dari Kampung Parit Tengah, Ayer Hitam di sini berkata, motosikal yang diubah menjadi kenderaan ke kebun itu digunakan sehari-hari untuk mencari rezeki.

Dia menamakan kenderaan itu gerabak kebun dan memilihnya berbanding kenderaan lain yang dimilikinya kerana bangga dengan kemudahan tersebut yang banyak berjasa kepada keluarganya.

Menurutnya, gerabak berkenaan mula dihiasi sejak Selasa lalu menggunakan bendera Malaysia dan juga bendera Johor.

“Walaupun orang nampak usaha kecil, tapi bukan mudah nak hiasi dan cantikkan kenderaan yang sering digunakan berulang-alik ke kebun ini.

“Saya membersih dan mencucinya sehabis baik agar ia nampak gah dan cantik bila dibaluti Jalur Gemilang,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, meskipun kelihatan ringkas, dia sudah membelanjakan sehingga RM1,300 untuk mengubah wajah kenderaan tersebut untuk ditunjukkan ke seluruh penduduk kampung.

“Mungkin bila kita guna dalam tempoh bulan Merdeka kemudian Hari Malaysia pula bulan depan, secara tak langsung menyuntik semangat penduduk di sini khususnya generasi muda untuk bangga mengibarkan Jalur Gemilang.

“Walaupun hiasan ini tak gah seperti sesetengah individu yang lain, tapi saya tetap gembira kerana bukan saya sahaja yang bersemangat menghias gerabak ini, anak dan cucu pun membantu dan bangga dengan hasilnya,” katanya.- MalaysiaGazette

habis