Md. Ranna Khan gigih menyapu sampah di Jalan Masjid India bagi memastikan kawasan berkenaan sentiasa bersih

KUALA LUMPUR – Bukan hero bergelar pasukan penyelamat namun peranan sebagai tukang sapu yang dimainkan Md. Ranna Khan, 40, penting bagi memastikan kawasan di sekitar Jalan Masjid India, di sini, bersih.

Ujar beliau, adalah menjadi kewajipannya memastikan jalan utama kawasan insiden tanah jerlus itu bebas daripada sampah sarap dan daun-daun kering.

Warga Bangladesh itu berkata, kawasan tersebut perlu dijaga lebih-lebih lagi ketika kerja-kerja mengorek tanah dijalankan semasa proses mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah jerlus warga India, Vijayaletchumy, 48, dilakukan.

”Tanggungjawab saya kena pastikan tempat ini bersih walaupun ada kejadian tanah runtuh atau tidak. Sebelum ini jaga bagi cantik, jadi setiap masa kena tengok jalan kena kosong.

”Ini saya punya kawasan, saya kena kerja elok-elok sebab saya jaga di kawasan ini, kerja betul-betul supaya Allah berkat,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Md. Ranna Khan

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati Md. Ranna tetap menjalankan tugasanya pada lewat malam hingga ke Subuh.

Tambah beliau, persekitaran yang bersih menyenangkan semua pihak yang berkumpul di lokasi tumpuan pelancongan itu.

BACA:

Suara gagak ‘bergema’ di lokasi SAR Masjid India

Raja Bomoh bawa ‘air berlaga’ ke SAR mangsa tanah jerlus

Kuala Lumpur masih selamat – Zaliha

Bapa kepada seorang anak itu memberitahu, mereka juga peka dengan keadaan sekeliling dan berharap agar dapat terus menjalankan pekerjaan dengan baik di negara orang.

Malah kata lelaki yang sudah 20 tahun bekerja di sini, beliau terlihat kelibat mangsa tanah jerlus itu beberapa kali sebelum insiden berlaku.

Md. Ranna berkata, beliau sering melihat wanita berkenaan bersarapan di kedai di kawasan berhampiran.

”Dia pernah minum sini, dia datang sini ada jual barang perhiasan sikit-sikit. Dia jalan bersama seorang lelaki dua orang perempuan, tapi dia yang jatuh,” ujarnya.

Operasi SAR wanita warga India yang hilang dalam tanah jerlus itu dihentikan pada hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, ia diputuskan selepas mengkaji semula laporan daripada semua agensi berkaitan operasi SAR di Jalan Masjid India. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan :

Operasi SAR cari wanita warga India dihentikan serta-merta – Dr Zaliha