Dr Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menegaskan kawasan di ibu kota ini adalah selamat.

Sehubungan itu beliau mengingatkan masyarakat agar tidak terpengaruh dengan ilustrasi yang ditularkan daripada sumber tidak sah  termasuk di media sosial mengenai tragedi tanah jerlus di Jalan Masjid India.

“Orang ramai perlu mendapatkan berita sahih daripada pihak berkuasa. Saya tahu di luar banyak ilustrasi tapi biarlah ia datang daripada pihak rasmi.

“Ramai yang bertanyakan keselamatan, saya ingin menegaskan KL secara amnya selamat.

“Kita telah bincang dengan pihak yang lebih arif dan selepas ini akan ada siri-siri berita lagi secara khusus tentang struktur di KL,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian ketika melawat kawasan tragedi tanah jerlus di Masjid India petang tadi.

Insiden itu melibatkan seorang wanita warga India, Vijaya Lakshmi, 48, yang terjatuh ke lubang ketika berjalan di lokasi berkenaan  pada 23 Ogos lalu. – MalaysiaGazette