KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap sambutan hebat sempena Hari Kemerdekaan di Dataran Putrajaya pagi ini, mencetus inspirasi untuk seluruh rakyat bersama-sama memaknai kemerdekaan yang dinikmati sejak 67 tahun lalu dengan semangat perpaduan yang utuh dan jiwa yang bebas dan merdeka.
Menurut perdana menteri, beliau berbangga melihat penyertaan penuh bersemangat dan bertenaga daripada pasukan keselamatan, badan penguat kuasa, agensi-agensi kerajaan, syarikat-syarikat swasta serta pelajar dalam perarakan kemerdekaan itu.
Tambahnya, beliau juga kagum melihat pelbagai persembahan yang memukau, terutama pertunjukan aset-aset udara serta persembahan Malaysia Madani Jiwa Merdeka yang mengangkat tema integriti dengan mengetengahkan perjuangan membersihkan negara daripada rasuah.
Selain itu, katanya, persembahan dan sorakan menakjubkan daripada sekitar 2,000 pelajar yang memenuhi pasukan Teres Grafik Manusia juga mencuri tumpuan sepanjang perarakan tersebut.
“Penghargaan tertinggi dan syabas buat ratusan ribu rakyat Malaysia pelbagai kaum yang sanggup menunggu seawal pagi semata-mata mahu menyemarakkan sambutan kemerdekaan tahun ini,” katanya dalam catatan di laman sosial Facebook hari ini.
Terdahului, media melaporkan, acara sambutan Hari Kebangsaan ke-67 yang bertemakan `Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ hari ini disertai lebih lebih 17,000 peserta dengan disaksikan lebih 100,000 pengunjung.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah turut berkenan berangkat ke sambutan itu.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada pukul 8 pagi itu disambut Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. – MalaysiaGazette