Muhyiddin Yassin. Foto FAREEZ FADZIL, 18 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan keprihatinan berhubung kos sara hidup yang berterusan sehingga menghimpit kehidupan rakyat terutama golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkenaan, tindakan kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi diesel banyak memberi kesan berantai kepada kenaikan kos perkhidmatan dan harga barangan keperluan asas yang sangat membebankan kumpulan tersebut.

Jelas beliau, keadaan itu juga mendorong kepada kenaikan kadar inflasi keseluruhan dan inflasi teras negara kepada 1.9 peratus pada suku kedua tahun ini berbanding 1.8 peratus pada separuh pertama.

“Situasi ini jika tidak ditangani akan terus menekan kehidupan rakyat yang selama ini sudah dihimpit dengan kenaikan pelbagai kos sara hidup,” katanya dalam perutusan sempena Hari Kebangsaan Ke-67 yang dimuat naik di laman sosial Facebook beliau malam tadi.

Dalam pada itu, sempena sambutan Hari Kemerdekaan hari ini juga, Muhyiddin menggesa seluruh rakyat supaya sesekali tidak lupa kepada jasa para pemimpin dan pejuang terdahulu yang memperjuangkan kemerdekaan tanah air.

“Marilah kita pertahankan kemerdekaan ini dengan iltizam dan semangat bagi memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman, makmur dan sejahtera,” katanya.

Ujar beliau, selama 67 tahun, rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang menjalani kehidupan harmoni dan penuh toleransi dalam sebuah negara yang makmur dan sejahtera bernama Malaysia.

Jelasnya, kemakmuran dan keharmonian itu dapat dicapai kerana setiap rakyat tanpa mengira warna kulit memahami dan patuh kepada asas-asas Perlembagaan yang telah termaktub sejak Malaysia mencapai kemerdekaan.

“Keadaan ini membolehkan usaha-usaha mengisi kemerdekaan dapat dilaksanakan dengan lancar terutama dalam memacu kemajuan ekonomi negara, merapatkan jurang ekonomi antara kaum dan wilayah, dan mewujudkan perpaduan sesama rakyat,” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Pagoh itu, kemerdekaan dalam erti kata sebenar ialah apabila rakyat dapat menjalani kehidupan dengan selamat, bebas mencari rezeki dan dilimpahi kemakmuran.

“Kemerdekaan juga akan menjadi lebih bermakna apabila rakyat bebas daripada kemiskinan dan tidak dibebani dengan kos sara hidup yang mencengkam,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast