Mohd Naim mangsa-mangsa yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bunga Raya di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Taman Bunga Raya, Wangsa Maju di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar belum menerima laporan daripada Jabatan Mufti Wilayah Persekutan berhubung langkah yang diambil oleh jabatan itu terhadap Raja Bomoh atau nama sebenarnya, Ibrahim Mat Zin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mempunyai langkah-langkah tertentu yang boleh diambil terhadap Ibrahim jika dia didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Jenayah Syariah.

“Insya-Allah, arahan saya dan permintaan saya pada Jabatan Mufti untuk memanggilnya (Ibrahim) seberapa segera yang boleh.

“Jadi, (ia) bergantunglah kepada masa Mufti, masa raja bomoh tu sendiri, cuma saya sebut juga dalam masa yang sama penguatkuasaan berjalan sebab pada 2021 (Ibrahim) pernah dituduh, tapi dia kata nak bertaubat tapi, buat balik.

“Jadi, bahagian penguatkuasa tu JAWI buat. JAWI ada bahagian penguatkuasaan untuk tindakan. Kalau ada kesalahaan-kesalahan di bawah Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan yang mana penguatkuasaan puas hati, maka tindakan penguatkuasaan tu akan dibuat juga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan sumbangan bantuan musibah mangsa tanah runtuh Taman Bunga Raya di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Taman Bunga Raya, Wangsa Maju, di sini, hari ini.

Mohd Na’im diminta mengulas mengenai kenyataannya sebelum ini apabila beliau mengarahkan pejabat Mufti Wilayah Persekutuan memanggil Ibrahim dengan segera selepas raja bomoh itu hadir di lokasi kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India, baru-baru ini.

Tindakan itu adalah sebagai langkah untuk memberi nasihat tentang batas akidah dan iman serta tidak terjebak dalam amalan yang membawa kepada penghinaan terhadap agama Islam.

Menerusi beberapa video yang tular, Ibrahim memaklumkan kehadirannya ke lokasi kejadian adalah untuk membantu usaha mencari mangsa yang masih belum ditemui sehingga kini.

Beliau turut dilaporkan merenjis air ‘istimewa’ di sekitar lokasi berhampiran seorang wanita dikenali sebagai Vijaya Lakshmi, 48, dari Kuppam, Andhra, India dilaporkan terjerlus ke dalam lubang sedalam lapan meter.

Ibrahim pernah dipanggil pada 2017 dan didakwa di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di bawah Seksyen 7(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) kerana kesalahan menghina Islam atau menyebabkan Islam dipandang hina.

Malah, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan telah memerintahkan individu tersebut menjalani konsultasi akidah di bawah pengawasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengikut Seksyen 129 Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 (Akta 506).

Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, beliau hanya bersangka baik terhadap Ibrahim susulan perbuatannya itu.

“Yang tu saya husnuzon sangka baik tak ada apa-apa masalah. Kita serah kepada pihak berkuasa untuk menentukan,” ujarnya bagi menjawab pertanyaan media terhadap sikap yang ditunjukkan oleh Ibarhim kepada khalayak.

Terdahulu, Mohd Na’im menyampaikan bantuan daripada MAIWP kepada 12 keluarga yang kediaman mereka terlibat dengan kejadian tanah runtuh di Taman Bunga Raya, di sini, minggu lalu.

Bantuan sebanyak RM1,000 dikeluarkan oleh MAIWP untuk setiap keluarga bagi tujuan pembelian barangan keperluan harian. – MalaysiaGazette