Persembahan tarian bertajuk ‘Cuci Rasuah’ mendapat tepukan ramai pada Sambutan Hari Kebangsaan yang bertemakan ‘Malaysia MADANI di Dataran Putra, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 31 OGOS 2024.

PUTRAJAYA – Barisan jemaah menteri berpuas hati dengan kelainan dan keunikan persembahan yang dipamerkan pada sambutan Hari Kebangsaan ke-67.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid, sambutan kali ini adalah yang terbaik pernah beliau hadiri setakat ini.

“Ada perubahan menarik dan merupakan terbaik setakat ini.

“Tahniah kepada Fahmi Fadzil (Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024) dan jawatan kuasa kerana membuat persembahan terbaik,” katanya kepada media selepas menghadiri selepas sambutan berkenaan di Dataran Putrajaya, di sini hari ini.

Sebahagian daripada Kontinjen pelbagai agensi memulakan perbarisan sempena Sambutan Hari Kebangsaan yang bertemakan ‘Malaysia MADANI di Dataran Putra, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 31 OGOS 2024.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, persembahan pembukaan iaitu perbarisan Kontinjen Komuniti Malaysia Madani yang berpakaian etnik lengkap beraksesori dan persembahan penutup iaitu persembahan tarian bertajuk ‘Cuci Rasuah’ menjadi kegemarannya.

Dalam pada itu, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sambutan kali ini meriah dan sangat berbangga kerana Malaysia telah mengecapi kemerdekaan selama 67 tahun.

Aksi daripada angkatan tentera sempena Sambutan Hari Kebangsaan yang bertemakan ‘Malaysia MADANI di Dataran Putra, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 31 OGOS 2024.

“Penting untuk semua kekalkan kemerdekaan ini dalam erti yang sebenar,” katanya.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau tertarik dengan penyertaan anak muda menerusi persembahan ‘teres manusia’ oleh 2,000 pelajar sekolah menengah.

Beliau berkata, persembahan tersebut amat menarik dan sangat tersusun.

“Kita dapat sekali lagi sambut 67 tahun negara kita (merdeka), sejahtera, aman, jauh daripada segala bencana, rakyat yang hidup dengan sejahtera walaupun berbilang kaum budaya bahasa dan agama,” katanya.

Sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang diadakan hari ini bertemakan ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’.

Untuk rekod, ini adalah acara tahunan kedua di bawah Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – MalaysiaGazette