Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis menyelamatkan 137 individu termasuk 52 kanak-kanak  disyaki menjadi mangsa eksploitasi buruh menerusi Op Pintas Mega yang dilaksanakan pada Januari dan Jun lepas.

Ketua Penolong Pengarah Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman SAC Soffian Santong dalam kenyataan berkata, mereka melibatkan 35 warga Myanmar,  Thailand (25), Indonesia (23), Bangladesh (17) dan Filipina (sembilan).

Beliau berkata lapan rakyat tempatan, selain masing-masing lima warga Kemboja, Vietnam dan China serta etnik Rohingya (tiga) dan Nepal (dua) turut diselamatkan dalam operasi itu.

Soffian berkata 398 individu juga ditahan dalam operasi yang diadakan menerusi dua fasa di seluruh negara itu.

Sebanyak 42 serbuan dan 285 individu melibatkan warga tempatan dan asing ditahan pada fasa pertama Januari lepas, dengan 64 mangsa diselamatkan terdiri daripada 12 lelaki dan 22 wanita selain 10 kanak-kanak lelaki dan 20 kanak-kanak perempuan.

Bagi fasa kedua pada Jun lalu, 33 serbuan dilakukan dengan 113 tangkapan warga tempatan dan asing serta polis menyelamatkan 73 individu iaitu 25 lelaki, 26 wanita dan 22 kanak-kanak lelaki.

Soffian berkata operasi secara bersepadu itu melibatkan Jabatan Imigresen, Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Alam Sekitar, Tenaga Nasional Berhad dan pihak berkuasa tempatan dengan menyasarkan premis kilang, ladang, sektor perikanan dan perkhidmatan serta pengemis. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast