Seorang remaja perempuan maut selepas kereta dipandu bapanya hilang kawalan dan melanggar sebatang pokok di Taman Seri Impian, Kluang hari ini.

KLUANG – Seorang remaja perempuan maut manakala ibunya parah selepas kereta dipandu bapanya hilang kawalan dan melanggar sebatang pokok di Taman Seri Impian, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian pada pukul 1.40 petang itu melibatkan sebuah keluarga iaitu suami isteri dan dua anaknya.

“Hasil siasatan awal mendapati kereta jenis Nissan Almera dipandu bapa mangsa datang dari arah Kluang menghala ke Taman Seri Impian.

“Semasa sampai di tempat kejadian, kereta berkenaan hilang kawalan dan terbabas di tengah jalan kerana jalan basah akibat hujan lalu melanggar sebatang pokok di penghadang tengah jalan,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, akibat pelanggaran tersebut mengakibatkan mangsa, 14, Chu Sin Hui, cedera parah di kepala dan badan sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut beliau, ibu mangsa yang duduk di kerusi penumpang hadapan, Gan Siew Peng, 39, cedera parah di kepala dan kini dirawat di zon merah Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini.

Tambah beliau, bapa mangsa, Chu Shze Cheng, 39, dan adik lelakinya yang duduk di kerusi belakang penumpang, Chu Hong Yu, 8, cedera ringan di kepala dan badan.

Kedua-dua beranak tersebut sedang mendapatkan rawatan di HEBHK, kata beliau.

“Kedua-dua pasagan suami isteri tersebut merupakan akauntan. Kes disiasat bawah Seksyen  41 (1) Akta Penangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya. – MalaysiaGazette