Operasi SAR mencari dan menyelamat seorang mangsa kejadian tanah jerlus telah memasuki hari kelapan di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 30 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kejadian tanah jerlus di Masjid India telah memasuki hari kesembilan, hari ini.

Bagaimanapun, tiada perkembangan terkini atau petunjuk baharu yang dimaklumkan kepada pengamal media yang masih ‘berkampung’ di lokasi kejadian.

Meskipun negara meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 hari ini, MalaysiaGazette mendapati pasukan SAR sudah berada di lokasi sejak 10 pagi tadi.

Vijayaletchumy, 48, terjatuh di lubang ekoran kejadian tanah jerlus pada 23 Ogos lalu.

Pelbagai kaedah yang digunakan oleh pasukan SAR termasuklah operasi penyelaman oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk mengesanya, selain menggunakan alat pengesan bawah tanah (GPR), kaedah ‘push rod’ iaitu memasukkan kamera ke paip pembentungan.

Namun, semuanya masih gagal mengesan mangsa,

Sementara itu, MalaysiaGazette difahamkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dijangka mengadakan sidang media pada 2 petang ini. -MalaysiaGazette