Buku Laporan Darjah Kegembiraan UMS (DK-UMS) bagi tempoh 2018-2023.

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah melancarkan Buku Laporan Darjah Kegembiraan UMS (DK-UMS) bagi tempoh 2018-2023 sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Universiti (AKU) Tahun 2024 yang berlangsung di Pusat Islam UMS, baru-baru ini.

Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) UMS berkata, pelancaran Buku Laporan DK-UMS itu adalah sebahagian daripada usaha UMS untuk memantau dan mengukur tahap kegembiraan kakitangan.

“Kaji selidik DK-UMS pertama kali dilaksanakan pada tahun 2018, dan pada tahun ini, BPSM bersama Jawatankuasa Kaji Selidik DK-UMS telah memperbaharui serta menambah baik sistem kaji selidik tersebut untuk edisi 2024.

“Sistem kaji selidik tersebut telah dibuka sejak 19 Julai lalu dan sehingga kini seramai 2,206 kakitangan (67%) telah melengkapkan kaji selidik tersebut dengan purata DK-UMS mencapai 74%, iaitu berada pada tahap Bahagia,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Pelancaran buku laporan itu disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor.

Dalam pada itu, Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar berkata, objektif DK-UMS antara lain juga adalah bagi memandu pembentukan pelan tindakan yang relevan untuk meningkatkan darjah kegembiraan kakitangan.

Keutamaan yang diberikan kepada kesejahteraan dan kebahagiaan kakitangan adalah penting untuk mewujudkan persekitaran kerja yang positif dan menggalakkan produktiviti kecemerlangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast