Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan menyaksikan perarakan pada Sambutan Hari Kebangsaan 2024 bertemakan ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dataran Putra, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 31 OGOS 2024.

PUTRAJAYA – Sambutan Hari Kebangsaan 2024  bermula secara rasminya tepat jam 8 pagi tadi dengan ketibaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dengan menaiki kenderaan rasmi di Dataran Putrajaya.

Acara hari ini bermula dengan ketibaan pemimpin kerajaan perpaduan diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Fadillah Yusof serta pasangan masing-masing.

Sejumlah kira-kira 200,000 pengunjung tiba bagi meraikan sambutan secara tahunan di Putrajaya sejak tahun lepas.

Bertemakan Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka, sambutan tahun ini juga menyaksikan pembabitan seramai 13,009 peserta persembahan dan perarakan, 112 haiwan dalam perkhidmatan, 439 aset darat dan udara daripada pelbagai agensi di lokasi acara sambutan.

Ia disusuli lintasan hormat lima helikopter yang membawa Jalur Gemilang serta tembakan 14 das meriam melambangkan 14 negeri dalam Malaysia.

Lagu Negaraku kemudian berkumandang, serentak dengan acara menaikkan Jalur Gemilang, disusuli dengan bacaan ikrar Rukun Negara oleh pembesar negara dan hadirin.

Lebih membanggakan dan bagi menghargai pengorbanan petugas anggota keselamatan, bacaan ikrar Rukun Negara kali ini diketuai oleh Koperal Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa bersama 66 pelajar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Mohd Khairul adalah wira yang berjaya menewaskan pencerobohan Balai Polis Ulu Tiram, Johor yang turut mengorbankan seorang anggota polis pada Mei lalu.

Hadirin kemudian dipersembahkan dengan acara perbarisan dan perarakan membabitkan kontinjen kenegaraan, urus tadbir negara, konvoi Kembara Merdeka, ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Dalam perarakan kali ini, seramai 100 pegawai kadet dari Akademi Latihan Ketenteraan Universiti Pertahanan Nasional dipertanggungjawab membawa Jalur Gemilang gergasi bersaiz 80 x 40 kaki.

Antara keunikan dalam acara persembahan tahun ini adalah perbarisan Kontinjen Komuniti Malaysia MADANI diterajui Kementerian Perpaduan Negara yang juga kontinjen terpanjang berpakaian etnik lengkap dengan aksesori, melambangkan kepelbagaian budaya masyarakat di negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast