KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melahirkan rasa kagum dengan semangat yang ditunjukkan peserta sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang berlangsung di Dataran Putrajaya pagi tadi.
Menurut beliau, semangat Malaysia Madani itu turut diperlihatkan oleh orang ramai yang menghadiri sambutan tersebut.
Ujar beliau, kehadiran orang ramai bersama keluarga, anak-anak dan rakan-rakan menggambarkan semangat kebersamaan dan Jiwa Merdeka yang luar biasa.
“Ribuan rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat hadir seawal pagi. Ada yang berjalan kaki dan meletakkan kenderaan jauh dari tapak program, demi memastikan mereka dapat turut bersama dalam sambutan ini.
“Saya yakin, sambutan di peringkat negeri dan daerah juga pasti meriah dan dipenuhi dengan semangat patriotisme yang tinggi,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Media melaporkan, acara sambutan Hari Kebangsaan ke-67 yang bertemakan `Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ hari ini disertai lebih lebih 17,000 peserta dengan disaksikan lebih 100,000 pengunjung.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah turut berkenan berangkat ke sambutan itu.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada pukul 8 pagi itu disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengajak seluruh rakyat untuk terus menyemarakkan semangat tersebut hingga ke Sambutan Hari Malaysia pada 16 September depan, yang akan diadakan di Kota Kinabalu, Sabah.
“Semoga semangat ini terus membara dalam setiap diri kita, bukan hanya pada hari ini, tetapi sepanjang masa dalam usaha kita membangunkan negara Malaysia yang tercinta ini,” katanya. – MalaysiaGazette