Orang ramai menyerbu Zoo Johor di Bandar Raya Johor yang dibuka semula hari ini.

JOHOR BAHRU – Orang ramai menyerbu pembukaan semula Zoo Johor di bandar raya ini hari ini selepas ditutup empat tahun lalu sejak pandemik Covid-19 melanda dan melalui proses naik taraf.

Pengunjung beratur seawal pukul 7.15 pagi lagi menyebabkan waktu pembukaan zoo diawalkan dari 9 pagi kepada 8.30 pagi.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, sehingga pukul 9.45 pagi, Zoo Johor menerima 3,500 pengunjung.

Seorang pengunjung, Fatanah Fadzil, 29, menyifatkan banyak perubahan Zoo Johor yang sudah berlaku namun tetap mengingatkannya kenangan sewaktu berkunjung ke situ sebelum ditutup.

Dia dan suami yang datang seawal pukul 8.30 pagi turut membawa dua anaknya yang buat pertama kali ke zoo berkenaan.

“Seronok saya dapat datang lagi ke Zoo Johor. Hari ini saya bawa suami dan anak-anak. Sewaktu empat tahun zoo ditutup, saya buntu juga mana nak bawa anak jalan-jalan.

“Banyak perubahan berlaku, kali ini nampak cantik sangat, tetapi, tetap dapat membuatkan saya imbau kenangan masa kecil-kecil datang sini,” katanya yang berasal dari Majidee.

Bagi Elena Ho, 63, pula, kali terakhir dia datang ke Zoo Johor adalah 40 tahun yang lalu dan hari ini dia gembira dapat membawa cucunya berkunjung ke situ.

“Gembira sangat, haiwan sangat banyak berbanding dulu. Masa muda saya datang, haiwan sedikit, itu pun macam tidak terurus,” kata pesara bank itu.

Dia yang datang dari Larkin bersama-sama anak, cucu dan rakan mencadangkan penambahan kaunter jualan tiket bagi melancarkan operasi penjualan tiket.

Seorang pekerja kilang, S Angelena, 29, dari Ulu Tiram berkata, ini kali pertama dia berkunjung ke Zoo Johor memandangkan anaknya yang berusia tiga tahun kerap memintanya bawa ke situ.

“Tahun lepas saya datang sebab anak nak pergi zoo, tetapi rupanya zoo ini ditutup. Saya kerap lihat perkembangan dalam media sosial ada yang beritahu akan buka hari ini.

“Seawal pukul 8.50 pagi, saya dah beratur beli tiket. Saya suka, anak juga gembira. Sangat cantik Zoo Johor ini.

“Cuma saya cadangkan boleh tambah lebih banyak haiwan dan banyakkan aktiviti yang bolehkan pengunjung berinteraksi dengan haiwan,” katanya.

Zoo Johor kini berusia 96 tahun terletak atas tanah seluas 4.73 hektar dan terdapat lebih 275 ekor koleksi haiwan antaranya, harimau, ungka, gajah, tapir, burung dan buaya.- MalaysiaGazette