Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.

PUTRAJAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan syarat baharu bagi permohonan kebenaran merancang pembinaan bangunan di Kuala Lumpur berkuat kuasa serta-merta.

Datuk Bandar, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif menegaskan, permohonan baharu itu mesti disertakan dengan dengan laporan geoteknikal yang disediakan oleh jurutera bertauliah.

“Syarat ini terpakai kepada permohonan yang sudah ada kelulusan tetapi development order (arahan pembangunan) belum dikeluarkan, permohonan yang masih dalam proses dan permohonan yang akan dikemukakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Penutup Festival Floria Diraja Putrajaya 2024 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Mengulas mengena rangka kerja bagi proses baik pulih tanah jerlus di kawasan Jalan Masjid India, Maimunah berkata, tempoh diperlukan kerana ia membabitkan pelaksanaan audit integriti, pemeriksaan saluran air Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan kajian kekukuhan tanah daripada segi geologi di kawasan berkenaan.

“Sebab itu kita perlukan masa antara tiga hingga enam bulan untuk menjalankan kajian terperinci bermula dari pintu gerbang Kampung Baru hingga pasar raya besar di Jalan Masjid India,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang dalam tanah jerlus di Jalan Masjid India dihentikan petang semalam.

Perkara itu diputuskan selepas mengkaji semula laporan daripada semua agensi berkaitan operasi SAR, sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

Keputusan itu diambil setelah mendapat pandangan daripada sudut pakar termasuklah dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), bomba, DBKL, Indah Water Konsotium, Jabatan Mineral dan Geosains, Agensi Nuklear Negara dan pelbagai agensi lain. – MalaysiaGazette