KUALA LUMPUR – Persatuan Penjaja Dan Peniaga Kecil Ampang (PEKA) memohon pihak berkuasa membanteras warga asing yang dijadikan pembantu, penjaja dan peniaga.
Pengerusinya, Ayob Abd Majid berkata, senario itu didakwa sudah lama berlaku dan mereka memonopoli perniagaan sejak sekian lama di Ampang.
“Susulan dari kejadian yang tular di media sosial baru baru ini, PEKA meminta agar pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Jabatan Imigresen dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya menyiasat isu tuduhan berkaitan rasuah, mengambil wang perlindungan serta aktiviti mengalibabakan lesen oleh peniaga,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Ayob, siasatan perlu untuk memastikan adakah tuduhan berkenaan benar-benar berlaku terutama dalam kalangan pihak berkuasa tempatan dan peniaga berlesen atau sekadar fitnah.
“Jika terbukti ada penglibatan hasil dari siasatan ini, PEKA berharap tindakan segera terhadap pemberi, penerima rasuah dan peniaga berlesen yang terbabit perlu disegerakan bagi membersihkan nama pihak berkuasa tempatan,” katanya lagi.
Sehubungan itu, PEKA juga meminta Ahli Parlimen Ampang, Rodziah dan Ahli Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya dan Bukit Antarangsa yang mewakili kawasan Ampang untuk mengadakan sesi perjumpaan dengan semua wakil penjaja dan peniaga.
Ia bagi menjelaskan isu sebenar serta mewujudkan jawatankuasa bertindak supaya perkara sedemikian tidak berulang sehingga memudaratkan masyarakat. – MalaysiaGazette