Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail merasmikan Moh Karnival Makmur Raub di Taman Tasik Raub hari ini

RAUB – “Pemuda, Puteri, dan Wanita UMNO berbeza, handicap tak sama.”

Ketiga-tiga kedudukan Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO mempunyai kedudukan berbeza dalam parti memainkan peranan namun mempunyai misi yang sama dalam perjuangan politik tanah air, kata Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

Naib Presiden UMNO itu berkata demikian ketika diminta reaksi berhubung calon yang akan mewakili bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK), Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota nanti.

Jelas Wan Rosdy meskipun Pemuda UMNO kelihatan lebih vokal dalam menyuarakan isu namun ketiga-tiga badan mempunyai sasaran berbeza di mana setiap sayap mempunyai intipati dan kekuatan tersendiri.

”Masing-masing mempunyai kelebihan berbeza. Kita tidak boleh samakan peranan masing-masing.

”Kelebihan bukan boleh diukur dengan kelantangan. Lantang cara masing-masing, pemuda bawa isu tersendiri, wanita pun lain, tak kan wanita nak bawa isu pemuda pulak?

“Bagi saya mereka punya kekuatan sendiri, keistimewaan sendiri dan ada kumpulan sasar sendiri. Kalau tanya mana yang bagus, bagi saya semuanya sama sahaja,” kata Wan Rosdy.

Menteri Besar Pahang itu berkata demikian ketika ditemui sejurus perasmian Moh Karnival Makmur Raub di Taman Tasik Raub hari ini.

Pada majlis itu beliau sempat berkunjung di 27 tapak pameran yang diwakili oleh jabatan serta agensi di daerah Raub.

Mengulas lanjut Wan Rosdy berkata siapa pun calon yang akan diumumkan mewakili Barisan Nasional (BN) bagi PRK DUN Mahkota perlu berlapang dada kerana keputusan yang dibuat sebulat suara bagi kepentingan parti bagi meneruskan keperluan rakyat di kawasan berkenaan.

Difahamkan BN kini di peringkat akhir untuk memuktamadkan calon bagi mewakili gabungan itu bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK), Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota selepas Hari Kemerdekaan.

Calon yang dipilih kelak juga akan diumumkan serentak dengan pelancaran jentera pilihan raya di DUN Mahkota.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini manakala penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September ini.

Berdasarkan statistik yang dikemas kini sehingga 2 Ogos lalu, DUN Mahkota mempunyai 66,318 pemilih terdiri daripada 61,397 pengundi biasa; 4,410 anggota tentera dan pasangan, 401 anggota polis serta 10 orang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara mengikut Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR).

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.Sharifah Azizah sebelum itu dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang selepas mengalami pendarahan dalaman.

Allahyarham yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang sejak 1993 merampas kembali kerusi DUN Mahkota daripada Pakatan Harapan (PH), dengan majoriti 5,166 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Mac 2022.

Pada PRN itu, Sharifah Azizah meraih 16,611 undi dalam saingan empat penjuru menewaskan Taqiuddin Che Man dari Amanah, Mohamad Nor Lingan yang mewakili Perikatan Nasional (PN) serta calon Parti Warisan, Mohamed Noor Suleiman.

Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy berkata Majlis Lantikan Angkat Sumpah bagi lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ada pembentangan bajet akan diadakan pada Sidang DUN akan datang. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan :

BN akan tentukan calon PRK DUN Mahkota – Ahmad Zahid