Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Pengulungan Perhimpunan Agong UMNO di dewan merdeka ketika tinjauan Malaysia Gazette di World Trade Centre Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 24 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Pihak lawan UMNO kini bimbang kerana tahap kepercayaan rakyat dan ahli parti itu terhadap kepimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kembali kukuh.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 yang baru berlalu merupakan bukti terhadap kembalinya kepercayaan terhadap Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri.

“PAU UMNO 2024 adalah buktinya. Ia dibantu pula dengan kemenangan di Nenggiri. Di hari penggulungan Zahid lebih fokus, structured (berstruktur) dan action oriented (berorientasikan tindakan).

“Banyak usul diterima akan dilaksana melalui kementerian, GLC (syarikat berkaitan kerajaan) dan agensi yang diterajui oleh menteri dan pengerusi dari UMNO,” katanya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri Rengit itu berkata, Ahmad Zahid merupakan sahabat sejati kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga bekas Presiden UMNO dan begitu juga UMNO tidak pernah berpisah dengan Najib.

Malah isu Najib telah dibangikatkan oleh perwakilan semasa berbahas sepanjang tiga hari PAU berlangsung.

Ketika PAU menurut Puad, Ahmad Zahid telah membawa isu Najib semasa sesi taklimat, ucapan dasar dan penggulungan presiden.

Tambah beliau, Presiden UMNO itu juga sanggup menunggu anak Najib, Nooryana Najwa pulang dari penjara melawat ayahnya, sebelum memulakan ucapan penggulungan presiden yang menandakan berakhirnya PAU.

“Usaha Zahid sudah ke silling. Dia dan Datuk Wan Rosdy sanggup buat affidavit mengenai titah adendum. UMNO bertekad untuk membela Najib walaupun dia tidak memintanya.

“Begitu tabahnya UMNO menunggu kepulangan Najib. Zahid melewatkan penggulungannya kerana menunggu Yana Najib balik dari penjara waktu itu.

“UMNO akan terus mara bersandarkan setiakawan dan solidariti. Najib kekal simbol kebangkitan. Mahkota medan perang seterusnya. UMNO sudah siap bertempur,” kata beliau dalam perkongsian di media sosial.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September depan.

Manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast