Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR – Malaysia akan bertanding kerusi Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi penggal 2025 hingga 2029.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dijadual membuat pengumuman hasrat Malaysia kepada Timbalan Ketua Pengarah UNESCO Xing Qu di Paris, Perancis minggu ini.

Fadhlina yang juga Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) akan mengetuai delegasi Malaysia menghadiri Minggu Pembelajaran Digital Tahun 2024 di Ibu Pejabat UNESSCO Perancis dari 2 hingga 4 September.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan berkata, Malaysia bersedia untuk bersaing mendapatkan kedudukan dalam Lembaga Eksekutif UNESCO bagi membawa misi pertumbuhan nasional yang inklusif, melindungi alam sekitar.

Ia juga bagi mempromosikan keadilan sosial bersandarkan kepada prinsip Membina Masa Depan Yang Berbeza (Build Forward Differently-BFD).

“Malaysia beriltizam melaksanakan beberapa langkah penting untuk merealisasikan objektif BFD melalui kompetensi UNESCO dalam bidang seperti pendidikan, sains semula jadi, sains dan sains sosial, kebudayaan, dan inisiatif kerjasama dengan semua pihak.

“Tindakan strategik ini dapat memberi sumbangan signifikan kepada impak kelestarian, inklusiviti, mencipta peluang, dan keamanan global,” katanya,

Penyertaan Malaysia dalam Minggu Pembelajaran Digital Tahun 2024 adalah bertepatan dengan hala tuju pendidikan negara yang memberi fokus kepada tranformasi pendidikan digital.

Ia juga adalah wadah yang dapat menggalakkan perkongsian amalan terbaik dalam pendidikan digital dan pertukaran pendapat serta maklumat selain meningkatkan keterlihatan Malaysia di peringkat antarabangsa.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast