Foto Ihsan UKK KPDN.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menahan 496 individu, merampas barang kawalan dan bersubsidi bernilai RM80.11 juta dalam Op Tiris 3.0 yang dijalankan antara 1 Januari hingga 28 Ogos lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sebanyak 29,487 pemeriksaan diadakan di seluruh negara manakala 2,005 kes direkodkan dalam tempoh sama.

Menurutnya, Op Tiris 3.0 penting dalam usaha mengekang kegiatan penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi meliputi bahan api diesel, petrol RON95, minyak masak bungkusan polibeg satu kilogram, gas petroleum cecair (LPG), tepung gandum dan gula putih bertapis satu kilogram.

“Kementerian akan terus meningkatkan ketangkasan penguatkuasaan termasuk memperkasa kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau merasmikan Program Sentuhan Kasih dan Advokasi Kepenggunaan yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Kapor Ben Chong di Kudat, Sabah hari ini.

Armizan berkata, kementeriannya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berjaya mematahkan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi dalam serbuan tiga premis berasingan di Nilai, Negeri Sembilan pada 23 Ogos lalu.

Dalam serbuan terbabit, sebanyak 180,200 kilogram minyak masak bersubsidi pelbagai jenama telah disita, selain kenderaan dan beberapa dokumen seperti invois jualan dan belian.

“Nilai keseluruhan rampasan dalam operasi itu dianggarkan berjumlah hampir RM500,000,” katanya sambil menambah seorang lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing ditahan untuk membantu siasatan.

Foto Ihsan UKK KPDN.

Armizan berkata, hasil siasatan awal mendapati aktiviti yang disyaki didalangi oleh syarikat pemborong minyak masak yang berlesen bertujuan menyeleweng dan memindahkan minyak masak bersubsidi bungkusan polibeg satu kilogram bagi jualan pada harga lebih tinggi daripada harga kawalan selain diseludup ke negara jiran.

Siasatan sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 termasuk bagi mengenal pasti individu atau syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti haram serta rantaian pengedaran minyak masak bersubsidi itu.

“Kementerian ingin mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam rantaian pembekalan dan pengedaran minyak masak bersubsidi polibeg satu kilogram agar lebih bertanggungjawab dalam memastikan subsidi ini benar-benar sampai kepada golongan sasar.

“Selain pemborong dan peruncit, syarikat pembungkus juga tidak boleh lepas tangan dan perlu bertanggungjawab dalam memastikan tidak berlakunya ketirisan,” katanya.

Armizan berkata, syarikat pembungkus akan turut disiasat sekiranya sesuatu jenama yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyelewengan dan penyeludupan dirampas dalam mana-mana operasi penguatkuasaan. – MalaysiaGazette