Al-Madinah International University (MEDIU) telah menganjurkan Majlis Pelancaran Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-67.

KUALA LUMPUR – Ogos cukup inonim sebagai bulan kemerdekaan untuk rakyat Malaysia berbilang kaum menyemarakkan semangat patriotik terhadap negara.

Pelbagai aktiviti telah dirangka sepanjang bulan ini antaranya mengibarkan bendera Jalur Gemilang dan tidak ketinggalan, Al-Madinah International University (MEDIU) yang telah menganjurkan Majlis Pelancaran Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-67.

Majlis yang telah disempurnakan oleh Ketua Eksekutif MEDIU, Dr. Abdullah Saad A. Alarefi telah diadakan di Dewan Utama Kampus MEDIU yang terletak di Desa Petaling.

Sempena program itu, pelbagai aktiviti telah diaturkan bermula minggu ini antaranya persembahan pidato, nasyid dan sketsa pendek patriotik yang melibatkan penyertaan pelajar tempatan dan antaravangsa MEDIU.

Kemuncak program itu yang berlangsung sehingga akhir bulan ini adalah aktiviti Hiking Hari Malaysia pada 24 September ini di Bukit Gasing, Petaling Jaya.

Ketua Eksekutif MEDIU, Dr. Abdullah Saad A. Alarefi (kiri).

Sementara itu, Dr Abdullah berharap agar Hari Kemerdekaan tahun ini membawa perpaduan, kebebasan, kedamaian dan kesejahteraan kepada warga dan pelajar MEDIU untuk mencipta lebih banyak kejayaan.

Malah tegasnya, semua warga universiti swasta itu dan generasi muda hari ini diingatkan dapat menghayati semangat integrasi nasional, setia kepada raja dan negara, serta menjaga keamanan dan kemakmuran negara Malaysia dengan sepenuh hati.

“Warga MEDIU wajar memasang Jalur Gemilang khususnya pada bangunan universiti, pejabat dan kenderaan selain memastikan pejabat mereka dipasang Jalur Gemilang sempena bulan Kebangsaan ini.

“Semangat patriotik dan cintakan tanah air yang mendalam membangkitkan motivasi buat warga universiti untuk menghias pejabat dengan Jalur Gemilang perlu diteruskan sehingga sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada majlis itu, Dr. Abdullah yang berasal dari Arab Saudi telah mengibarkan Jalur Gemilang  dengan diikuti lebih kakitangan termasuk dari luar negara yang  hadir selama beberapa minit sebagai tanda patriotik. – MalaysiaGazette