Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir bagi perbicaraan kes pecah amanah membabitkan harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion digunakan sebagai bayaran kepada International Petroleum Investment Co. di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 04 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland yang menjatuhkan hukum penjara terhadap dua individu atas kesalahan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak menyebut tentang penglibatan Datuk Seri Najib Razak.

Dua individu itu, Ketua Eksekutif PetroSaudi, Tarek Obaid dihukum penjara tujuh tahun manakala Pengarah syarikat penerokaan dan pengeluaran minyak Arab Saudi, Patrick Mahony dijatuhi hukuman penjara enam tahun.

Peguam yang mengetuai pasukan pembelaan Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, mahkamah negara tersebut tidak dapat membuktikan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low mewakili bekas Perdana Menteri itu.

“Mahkamah Switzerland itu tidak sebut apa-apa tentang penglibatan Datuk Seri Najib Razak dalam penyelewengan dana 1MDB,” katanya di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini. 

Pada Khamis lalu, Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland di Bellinzona memutuskan Obaid dan Mahony terbabit dalam penipuan terhadap dana 1MDB.

Pejabat Peguam Negara Switzerland mendakwa bahawa tertuduh di Switzerland didakwa menyertai usaha sama dengan 1MDB atas alasan palsu dan dengan pembabitan seorang pelabur Malaysia, didakwa menyumbangkan aset yang tidak dimiliki mereka.

Katanya, berpuluh juta dolar dari dana kekayaan negara itu akhirnya berakhir di tangan tertuduh tanpa memenuhi tujuan usaha sama tersebut.

Prosiding bersambung.  – MalaysiaGazette

1MDB: Dua eksekutif PetroSaudi dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Switzerland