SHAH ALAM – Kerjasama antara Antah Strategic Services Sdn Bhd dan OCS Malaysia selaku pemain industri perkhidmatan kemudahan boleh dimanfaatkan untuk menyokong agenda pendigitalan Malaysia yang lebih meluas.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, agenda pendigitalan di negara ini merentasi semua sektor dalam usaha melakukan transformasi industri sedia ada agar seiring dengan perkembangan tekonologi masa ini.
“Minggu lepas, saya berada di Pulau Pinang, bercakap tentang Agritech. Hari ini, ia mengenai inisiatif digital dalam industri perkhidmatan kemudahan.
“Pendigitalan bukanlah kata kunci semata-mata tetapi perubahan asas dalam cara kami beroperasi merentas semua sektor.
“Ia adalah penting untuk transformasi industri termasuk sektor perkhidmatan kemudahan. Teknologi semakin memacu kecekapan, kemampanan dan inovasi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyaksikan Majlis Menandatangani Usahasama Baharu antara Ketua Pegawai Eksekutif Antah Strategic Services Sdn Bhd, Tunku Alauddin Tunku Naquiyuddin dengan Ketua Pegawai Eksekutif OCS Asia Pasifik dan Timur Tengah, Roland Salameh.
Menurut Gobind, pembentukan Antah-OCS Services adalah bukti potensi pendigitalan dalam industri perkhidmatan kemudahan.
“Dengan menyepadukan penyelesaian digital termaju, usaha sama ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi tetapi juga menyumbang kepada matlamat negara yang lebih luas iaitu kemampanan dan pertumbuhan ekonomi.
“Saya telah diberitahu tentang beberapa ciri digital rancangan Perkhidmatan OCS-Antah untuk digunakan dalam bergerak ke hadapan.
“Ia termasuk robotik dalam pembersihan saluran udara, penggunaan Analisis Data Besar serta Internet of Things (IoT) untuk kerja penyelenggaraan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette