KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersyukur selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan syarikat pengimport telur J&E Advance Tech Sdn Bhd bagi mendapatkan kebenaran untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap beliau.
“Alhamdulillah saya bersyukur,” kata pemimpin Perikatan Nasional Selangor itu kepada MalaysiaGazette hari ini.
Awal hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman, Leong Wai Hong menolak permohonan itu atas alasan draf pernyataan saksi Mohamed Azmin selaku defendan dalam kes itu masih belum diterima sebagai keterangan dalam mahkamah.
Mahkamah turut menolak permohonan J&E Advance Tech untuk memanggil semula Mohamed Azmin bagi pemeriksaan balas lanjutan dalam perbicaraan kes saman itu yang telah ditutup pada 17 Mei lepas.
Pada 23 Mei lalu, J&E Advance Tech memfailkan notis permohonan komital itu secara ex-parte (sebelah pihak) atas dakwaan Mohamed Azmin telah membuat pernyataan palsu ke atas mahkamah dengan memfailkan pernyataan saksi defendan baharu pada hari kedua perbicaraan 17 Mei lepas dengan niat untuk menipu dan mengelirukan mahkamah serta pihak-pihak terlibat.
Syarikat itu mendakwa Mohamed Azmin telah gagal mengemukakan alasan berkenaan kelewatan mengemukakan keterangan baharu pada hari kedua perbicaraan sedangkan mahkamah telah mengarahkan pemfailan dokumen pra bicara pada atau sebelum 30 Dis 2023.
Peguam, Bhavanash Sharma yang mewakili J&E Advance Tech mengesahkan pihaknya akan memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding kes saman itu memandangkan pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap kedua-dua keputusan berkenaan.
J&E Advance Tech Sdn Bhd telah memfailkan saman terhadap Mohamed Azmin pada 12 April 2023 kerana mendakwa syarikat itu memperoleh kontrak melalui rundingan terus dengan kerajaan untuk mengimport telur dari India.
Syarikat itu mendakwa Mohamed Azmin telah membuat dan menerbitkan ucapan memfitnah syarikat berkenaan dalam ‘Ceramah Perdana: Solidariti Menentang Kezaliman’ di Taman Melewar di sini pada 11 Mac 2023 dan kenyataan beliau telah diterbitkan semula oleh media cetak dan elektronik termasuk YouTube. – MalaysiaGazette