KUALA LUMPUR- Sebuah bas henti-henti dari Baling menuju ke Sungai Petani terbakar di Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani, Kedah petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba I, Ismail Mohd Zain berkata, pemandu dan kesemua tujuh penumpangnya bagaimanapun terselamat.
Tambah beliau, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 4.36 petang sebelum sepasukan anggota diketuai PBKII Yazid Ismail tiba di lokasi bersama 10 anggota.
“Kesemua mereka berjaya menyelamatkan diri dan tiada kecederaan dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ismail berkata, anggaran kemusnahan lebih 60 peratus dan tidak membabitkan mangsa.
Tambahnya, bantuan dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) yang tiba di lokasi kejadian sebelum kehadiran Bomba.
Api berjaya dikawal pada jam 4.57 petang dan dipadam sepenuhnya sejurus selepas itu.
Setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan.- MalaysiaGazette