SHAH ALAM – Seorang bekas pelajar perempuan warga Sri Lanka merupakan antara 37 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan ke atas dua buah gudang pembungkusan dan penghantaran barang jualan e-dagang, di Jalan Kebun, di sini, hari ini.
Menyedari kehadiran pihak berkuasa ketika sedang bekerja, ada antara mereka bersembunyi di celah kotak, tandas dan gudang namun usaha melarikan diri gagal setelah dikepung anggota penguatkuasa.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Malaysia, Jafri Embok Taha berkata, gudang itu diserbu pada jam 12 tengah hari tadi atas maklumat dan risikan dan pihaknya telah melakukan pemeriksaan ke atas seramai 87 individu.
“Daripada jumlah pemeriksaan itu, pasukannya berjaya menahan seramai 37 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk lapan wanita berusia lingkungan antara 20 hingga 40 tahun.
“Kesemua tangkapan PATI terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Sri Lanka dan juga Nepal dipercayai melakukan kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan sah selain tinggal melebihi masa yang ditetapkan dan menyalahgunakan pas lawatan sosial ke negara ini.
“Dalam serbuan sama, Imigresen juga berjaya mengesan kesalahan majikan menggajikan dan melindungi Pati,” katanya.
Menurut Jafri, kesemua Pati itu akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan semua tahanan dibawa ke depot tahanan sementara Imigresen di Putrajaya untuk proses dokumentasi.
Tambah beliau, seramai 1,018 majikan telah ditangkap atas kesalahan melindungi dan menggaji Pati bagi lapan bulan pertama tahun ini manakala dalam tempoh yang sama seramai 31,196 Pati diberkas atas kesalahan di bawah Akta Imigresen.
Sementara itu, pelajar Sri Lanka itu berkata, dia masuk ke Malaysia sebagai pelajar sekolah antarabangsa di Klang pada 2017.
“Saya telah mengikuti pengajian O Level di sekolah Inggeris itu selama tiga tahun sebelum menamatkan pembelajaran pada 2020 dan ejen telah menawarkan pekerjaan untuk saya di gudang sini gaji RM65 sehari.
“Saya baru sahaja menerusi ejen menghantar permohonan memperbaharui dokumen visa permit saya pada Januari lalu dan masih sedang menunggu keputusan,” ujarnya gadis berusia 20 tahun itu.
Tambah beliau, ini merupakan kali pertama beliau ditahan JIM. – MalaysiaGazette