Panel Penasihat SG4, Tan Sri Abdul Hadi Awang bercakap kepada wartawan ketika sidang media selepas menghadiri Sidang Kemuncak SG4 di Bangi, Selangor. Foto SADIQ SANI, 2 SEPTEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Keputusan sama ada Perikatan Nasional (PN) akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 akan diputuskan oleh pucuk kepimpinan gabungan parti itu kelak.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu bukan ditentukan oleh mana-mana pihak termasuk oleh parti sekutu PN di Sabah, Parti Maju Sabah (SAPP).

“Bergantung kepada kita yang buat keputusan, bukan mereka yang buat keputusan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak 4 Kerajaan Negeri (SG4) di Bangi, dekat sini, hari ini.

Hadir sama, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Semalam, Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee dilaporkan berkata, PN tidak perlu bertanding pada PRN Sabah Ke-17 selaras dengan pendirian parti itu yang mahu parti dari Semenanjung tidak bertanding pada pilihan raya negeri di negeri tersebut.

Teck Lee menambah, SAPP masih menjadi ahli PN, namun pendirian itu kekal dan beliau sudah menyuarakannya kepada kepimpinan PN supaya tidak meletak calon pada PRN Sabah kelak.

Kenyataan Teck Lee itu bercanggah dengan pendirian Abdul Hadi sebelum ini yang memberi bayangan Pas akan kembali bertanding pada PRN Sabah selepas tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Bercakap kepada media selepas Konvensyen Pas Sabah di Kota Kinabalu, Sabtu lalu, Abdul Hadi memberi bayangan untuk Pas bertanding semula di Sabah melihat kepada sokongan golongan muda yang semakin meningkat terhadap parti tersebut.

Sementara itu, ditanya lanjut berkenaan jumlah kerusi yang mahu ditandingi pada PRN Sabah kelak, Abdul Hadi berkata, perkara itu masih dalam perbincangan dengan parti-parti yang dipilih untuk ditetapkan.

Kepada soalan sama ada PN akan bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), beliau berkata, pihaknya akan melihat mana yang lebih baik sebelum membuat keputusan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast