KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Kedah akan membawa kes tuntutan bayaran caj air mentah Sungai Muda ke atas Pulau Pinang ke mahkamah.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, perkara itu adalah seperti yang disarankan sendiri oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow sebelum ini.
“Pulau Pinang yang kata bawa ke mahkamah, dia yang kata nak tuntut bayaran kena bawa ke mahkamah. Dia yang suruh, bukan saya nak. Sila baca kenyataan dia, kita akan buatlah.
“Kerugian tidak tahu berapa, mungkin sejak tuhan buat dunia. Mungkin RM50 juta setahun,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sidang Kemuncak Empat Kerajaan Negeri (SG4) di Bangi, dekat sini hari ini.
Beliau ditanya berkenaan gesaan Kon Yeow sebelum ini supaya Kerajaan Negeri Kedah melakukan melalui mahkamah dan bukan di media atau secara terbuka jika mahu menuntut bayaran caj air mentah Sungai Muda yang diambil Pulau Pinang.
Menurut Kon Yeow, beliau sendiri telah berulang kali memberi penjelasan mengenai pendirian Pulau Pinang berhubung isu itu dengan Kerajaan Kedah sepatutnya memulakan tuntutan berkenaan di mahkamah.
Terdahulu, Kerajaan Negeri Kedah dilaporkan akan terus menuntut bayaran caj air mentah dari Pulau Pinang yang ketika ini mendapat 84 peratus sumber airnya dari Sungai Muda, Kedah.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Kedah, Mohamad Yusoff@Munir Zakaria dilaporkan berkata, Pulau Pinang masih gagal membuat bayaran walaupun satu sen kepada Kedah biarpun tuntutan dibuat sejak 2010.
Kedah sebelum ini mengemukakan tuntutan bertulis kepada Pulau Pinang untuk mengenakan caj air mentah sebanyak RM50 juta setahun berikutan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mendapat bekalan air Sungai Ulu Muda yang berpunca dari Kedah. – MalaysiaGazette