Gambar hiasan

KOTA TINGGI – Cubaan satu sindiket menyeludup benih udang karang bernilai RM3.5 juta dengan sebuah bot fiber gagal selepas diserbu polis di perairan Tanjung Merak, Pengerang, dekat sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintenden Mohd Syamsuri Mohamad berkata, serbuan dan rampasan itu dilakukan Unit Risikan Marin (URM) Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua melalui Op Taring Gelora.

“Bertindak atas maklumat dan risikan, pada 31 Ogos lalu kira-kira pukul 12 tengah hari, URM PPM Wilayah Dua berjaya memintas dan memberhentikan sebuah bot fiber yang disyaki menjalankan aktiviti penyeludupan benih udang karang.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas bot tersebut telah menjumpai sejumlah kotak gabus berisi benih udang karang yang disyaki cuba diseludup keluar melalui jalan yang tidak diwartakan.

“Sindiket dipercayai mendapatkan bekalan benih udang karang dari negara luar bagi pasaran tempatan dan luar negara. Seorang lelaki warga tempatan berumur 49 tahun merupakan tekong bot turut ditahan dalam tangkapan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, susulan itu turut dirampas sebuah bot fiber anggaran nilai RM80, 000, dua enjin sangkut jenama suzuki 140 kuasa kuda 46 kotak gabus berisi benih udang karang bernilai anggaran RM3,312, 000 dan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM3, 552,000.

Menurutnya, kes disiasat dibawah Seksyen 40 Akta Perikanan 1985 manakala tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Perikanan Negeri Johor untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette