Wednesday, October 2, 2024
Home Seni Hidup Dr Zulkifli letak jawatan Pengerusi TheNoor

Dr Zulkifli letak jawatan Pengerusi TheNoor

Bekas Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri
KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi TheNoor berkuat kuasa pada 31 Ogos lalu.
Pemgumuman itu dibuat Zulkifli dalam satu hantaran di Facebook miliknya.
Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat selepas pertimbangan mendalam dan mengambil kira pelbagai faktor relevan terhadap tanggungjawab serta masa hadapannya.

“Saya ingin menegaskan bahawa selepas tarikh peletakan jawatan ini berkuat kuasa, saya tidak lagi terlibat dalam sebarang urusan, keputusan, atau aktiviti yang berkaitan dengan TheNoor.

“Segala urusan dan tanggungjawab yang melibatkan TheNoor selepas 31 Ogos 2024 adalah sepenuhnya di bawah bidang kuasa dan tanggungjawab pihak pengurusan baharu,” katanya menerusi satu hantaran.
Sementara itu, Zulkifli turut menzahirkan penghargaan kepada TheNoor kerana memberikan sokongan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Sepanjang bersama aplikasi yang diasaskan oleh selebriti dan usahawan terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor, beliau berkata, beberapa program telah dijayakan dan sedang diusahakan.
Antaranya, ‘30 Days Ramadan Capsule’, MoU Kolaborasi Strategik dan Pembangunan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) Bagi Soal Jawab Agama dan Projek eBuku.
“Saya berkeyakinan bahawa pasukan pengurusan baharu TheNoor akan terus komited untuk mencapai visi dan misi syarikat dengan jayanya,” ujarnya.
Sebelum ini, seorang lagi pihak pengurusan berkenaan, Mohd Izzairi Yamin yang menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif, TheNoor turut mengumumkan peletakan jawatan  sejak 2 Ogos lalu.
Menurut beliau, perjalanan bersama TheNoor merupakan pengalaman luar biasa yang penuh dengan cabaran, pertumbuhan dan banyak momen bermanfaat.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua orang yang telah menyokong TheNoor dan saya sepanjang perjalanan ini.
“Alhamdulillah dan saya berbangga dengan semua yang telah kita capai bersama, dan saya yakin TheNoor akan terus maju dan berinovasi di bawah kepimpinan baharu,” katanya.
TheNoor adalah aplikasi mudah alih berkonsepkan gaya hidup Muslim yang merangkumi semua aspek kerohanian.
Pelbagai ciri boleh ditemui pada aplikasi tersebut seperti waktu solat, arah kiblat, pemain media al-Quran serta terjemahan yang dialih suara dalam lima bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil dan Indonesia. – MalaysiaGazette