Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Kerjasama antara empat buah negeri pembangkang iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis menyaksikan penubuhan sebuah syarikat yang dikenali sebagai SG4 Group Sdn. Bhd..

Menjelaskan lebih lanjut, Ketua Panel Penasihat SG4, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, syarikat itu ditubuhkan dengan setiap empat negeri mempunyai ekuiti masing-masing sebanyak 25 peratus.

Ujar bekas Perdana Menteri itu, menerusi syarikat berkenaan, hasil kekayaan dapat diagihkan bagi tujuan pembangunan secara adil kepada keempat-empat negeri tersebut.

“Kita sudah mula kerjasama ini, tetapi secara tidak rasmi. Hari ini ini kita rasmikan dan kita beritahu kepada pegawai kerajaan (setiap negeri) macam mana kita harap kita boleh bekerjasama,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak 4 Kerajaan Negeri (SG4) di Bangi, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, seorang lagi Panel Penasihat SG4, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Menurut Dr. Mahathir, antara fokus perniagaan yang boleh dijalankan di bawah SG4 Group Sdn. Bhd. itu termasuk nadir bumi sebagai salah satu punca pendapatan.

Jelas beliau, memandangkan tidak semua dari empat negeri itu mempunyai elemen nadir bumi, maka negeri yang memiliki elemen itu boleh berkongsi punca kekayaan tersebut dengan negeri-negeri lain.

“Satu negeri mungkin lebih daripada yang lain, jadi dalam syarikat ini kita agih segala hasilnya secara saksama,” katanya.

Kepada soalan syarikat itu seolah-olah empat negeri berkenaan tidak sealiran dengan dasar kerajaan Pusat, Dr. Mahathir bagaimanapun menolak andaian berkenaan.

“Kita bukan hendak ubah jalan lain… kita hendak tumpu kepada pembangunan empat buah negeri yang tidak dapat kekayaan yang sama daripada negeri yang lain.

“Kita juga hendak majukan empat negeri ini supaya kita juga dapat nikmat daripada kekayaan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, syarikat itu kelak akan memberi tumpuan kepada lima kluster iaitu infrastuktur dan logistik; perdagangan; pelaburan dan industri; pertanian dan sekuriti makanan; pendidikan dan modal insan sebagai sumber pendapatan baharu.

Ujar beliau, setiap kluster itu akan disemak oleh seorang Exco dari setiap negeri selain turut disertai oleh Exco-exco negeri yang lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast