Kumar (kanan) menunjukkan antara barangan yang dirampas selepas memberkas 11 ahli Geng Bala, pada sidang akhbar di IPK Jojor, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Geng Bala yang aktif melakukan samun dan pecah rumah di empat daerah di Johor tumpas selepas polis memberkas 11 ahlinya bulan lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, mereka terdiri daripada sembilan lelaki dan dua wanita ditahan dalam beberapa siri serbuan bermula 12 hingga 26 Ogos lalu.

Beliau memberitahu, semua yang ditahan termasuk ketuanya berusia antara 20 hingga 65 tahun dipercayai aktif dalam kegiatan samun serta pecah rumah di daerah ini, Kulai, Pontian dan Muar.

“Geng berkenaan menyasarkan rumah-rumah yang bukan dalam kawasan berpagar dan berpengawal atau pun rumah-rumah mewah.

“Mereka ini akan memecah masuk rumah pada waktu malam atau awal pagi dengan cara mengumpil pintu ‘sliding’ menggunakan kuku kambing dan pemotong besi untuk masuk ke dalam rumah.

“Jika ada penghuni dalam rumah berkenaan, mereka akan menggunakan senjata seterusnya melakukan samun,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Katanya, siasatan mendapati geng berkenaan sudah aktif kira-kira lima hingga enam bulan lalu.

Beliau percaya, dengan tertumpasnya geng tersebut, pihaknya percaya sudah berjaya menyelesaikan 31 kes samun dan pecah rumah di negeri ini yang dilaporkan sejak awal tahun ini.

Kumar berkata, beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk melakukan samun dan pecah rumah turut dirampas.

Polis juga ujar beliau, menjumpai semula barang hasil samun dan pecah rumah yang bernilai kira-kira RM95,000 antaranya barang kemas, beg tangan pelbagai jenama dan jam tangan berjenama milik mangsa.

Kumar berkata, lapan daripada 11 suspek itu, mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah dengan yang terbanyak 36 rekod.

Tambahnya, lapan daripada mereka juga positif dadah hasil ujian saringan awal air kencing.

“Hasil siasatan awal mendapati seorang suspek yang berusia 65 tahun itu adalah pembeli barangan hasil kegiatan samun dan pecah rumah dilakukan kumpulan ini yang dipercayai dijual semula,” jelasnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan dengan senjata, Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah, Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana menerima atau menyimpan harta curi dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana menyembunyi, memindah atau menghapuskan harta curi.

Ujarnya, seorang daripada suspek juga akan diambil tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Semua suspek kini ditahan reman sehingga 7 September ini,” katanya.- MalaysiaGazette