Zambry.

KEPALA BATAS – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengalu-alukan usaha institut pengajian tinggi (IPT) dalam negara untuk meneroka dan mewujudkan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) selaras agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara.

Menterinya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, penubuhan fakulti AI bertujuan meletakkan universiti tempatan pada kedudukan terbaik di peringkat antarabangsa.

Beliau juga menekankan bahawa universiti yang memiliki kemahiran dalam bidang tertentu, seperti sains komputer, perlu membuat perubahan sejajar dengan peredaran masa, termasuk mewujudkan fakulti baru yang relevan.

“Seperti yang kita sedia maklum, kita telah melancarkan fakulti AI sebelum ini di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), namun kita tidak menghalang universiti-universiti yang mempunyai kepakaran untuk meneruskannya.

“Kalau sebelum ini terdapat universiti yang mempunyai kemahiran dalam bidang sains komputer misalnya, tentunya selaras peredaran masa mereka juga perlu membuat perubahan dalam fakulti terbabit.

“Seperti yang disyorkan oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang mahu memiliki fakulti sains komputer dan juga AI, kita tidak ada halangan untuk mereka meneruskan dan mewujudkan fakulti berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Global Trends Engineering, Science and Technology (GTEST 2024) anjuran UniMAP di Bertam, di sini hari ini.

Dalam ucapannya, Zambry turut memuji usaha UniMAP yang berjaya menghimpunkan lebih 350 delegasi dari seluruh dunia untuk program tersebut.

Beliau menekankan bahawa program ini telah mengumpulkan pakar dalam pelbagai bidang berkaitan teknologi, bukan sekadar melaksanakan program tanpa kemahiran yang mendalam.

“Kita dapat lihat bahawa pendekatan antaradisiplin yang digabungkan dalam program ini membuktikan satu perubahan baharu dalam sistem pendidikan hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette