KEPALA BATAS – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengikuti langkah yang disarankan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam usaha mencegah penularan wabak Mpox atau cacar monyet membabitkan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang keluar dan pulang dari luar negara.
Menterinya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad telah membentangkan langkah-langkah yang dibuat kementerian itu di Kabinet dalam mengatasi virus berkenaan.
Bagaimanapun, jelas beliau, pihaknya akan menunggu arahan lanjut daripada KKM sekiranya terdapat sebarang keperluan lain dalam usaha menghalang penularan wabak tersebut.
“Kita serahkan kepada pihak kementerian kesihatan untuk memaklumkan langkah-langkah yang mereka lakukan dan sebelum ini saya difahamkan Dr Dzulkefly sendiri telah memaklumkan langkah-langkah yang telah dibuat.
“Mungkin akan ada pengumuman lain sekiranya wabak itu terus berleluasa dan tentunya menteri yang berkenaan akan membuat pengumuman,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas samaada KPT membuat saringan terhadap mahasiswa di seluruh IPT yang pergi dan pulang dari luar negara susulan penularan wabak Mpox.
Terdahulu, Zambry merasmikan Kongres Global Trends In Engineering, Science and Technology (GTEST 2024) anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Bertam di sini, yang menghimpunkan lebih 350 delegasi dari seluruh dunia.
Media sebelum ini melaporkan Malaysia bakal menerima segera agihan ubat Antiviral Tecovirimat (TPOXX) dan vaksin MVA-BN untuk wabak cacar monyet atau mpox melalui ‘Covid-19 ASEAN Response Fund’.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ubat serta vaksin berkenaan hanya akan diberi kepada golongan sasar sahaja.
“TPOXX diguna dalam rawatan mpox, khasnya (mereka) yang mengalami jangkitan teruk atau mereka yang punya imuniti lemah.
“Pemberian vaksin MVA-BN mpox hanya diberi berdasarkan pemeriksaan dan penilaian pakar perubatan,” katanya dalam hantaran di aplikasi X.
Pada 23 Julai 2022 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak mpox sebagai Public Health Emergency Of International Concern (PHEIC) namun, ia ditamatkan pada 11 Mei tahun lalu ekoran bilangan kes menurun.
Bagaimanapun, pada 14 Ogos lalu, WHO sekali lagi mengisytiharkan mpox sebagai PHEIC untuk kali kedua. – MalaysiaGazette