Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad beramah mesra bersama pelajar ketika hadir pada Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak Peringkat Negeri Perak Tahun 2024 di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kelebang, Chemor, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 02 SEPTEMBER 2024.

IPOH – Perbincangan berhubung perlantikan pemimpin setempat sebagai ahli Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak berada di peringkat akhir antara dua kementerian.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, perlantikan tersebut melibatkan kerjasama antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Menurutnya, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) akan dilantik sebagai ahli pasukan berkenaan.

“Kita memang ada satu program iaitu CBO (Organisasi Berasaskan Komuniti) yang memang secara langsung terlibat dan bekerjasama bersama semua ketua kampung dan penghulu.

“Tapi bagi program yang terus berkaitan dengan perlindungan kanak-kanak ini, ia dalam peringkat perbincangan terakhir untuk kita (KPWKM) melibatkan mereka bersama,“ katanya.

KPWKM, KKDW di peringkat akhir lantik ahli Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak Peringkat Negeri Perak 2024 di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kelebang, Chemor, di sini pada Isnin.

Terdahulu, Noraini berkata, JPKK atau JPKKP adalah organisasi kepimpinan di setiap kampung membolehkan mereka memainkan peranan yang meluas yang menjadi agen penggerak kepada penyatuan dan perpaduan masyarakat kampung.

Tambahnya, pemimpin setempat ini juga akan mengadakan program pembangunan dan juga hal-hal yang berkaitan kehidupan setempat dalam menyalurkan maklumat kepada KPWKM berkaitan kes-kes penderaan dan pengabaian yang berlaku dalam kawasan kampung.

“JPKK atau JPKKP juga boleh menjadi penghubung kepada KPWKM dan komuniti setempat dalam menyalurkan maklumat berkaitan kempen mahupun program-program advokasi daripada KPWKM kepada masyarakat setempat,“ ujarnya. – MalaysiaGazette