Gambar ihsan IPD Lipis

KUANTAN – Seorang lelaki maut dalam nahas membabitkan empat buah kenderaan di kilometer 18 Jalan Lipis-Benta, Kuala Lipis pagi tadi.

Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada pukul 8.30 pagi.

“Siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan kereta jenis Proton Inspira, Perodua Myvi Perodua Kancil dan Toyota Avanza,” katanya.

Ismail berkata, kejadian berlaku apabila Proton Inspira dalam perjalanan dari Melaka menghala ke Gua Musang, Kelantan telah bertembung dengan kereta Kancil dari arah bertentangan di lokasi kejadian.

Kemalangan turut membabitkan kereta Toyota Avanza yang berada di belakang kereta kancil itu selain Perodua Myvi yang mengikuti belakang Proton Inspira tersebut.

“Akibat kemalangan itu, pemandu Proton Inspira, Amirul Islah Ibrahim berusia 31 tahun telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Hospital Kuala Lipis.

“Pemandu Perodua Kancil iaitu lelaki berusia 43 tahun turut dikejarkan ke hospital sama kerana mengalami kecederaan parah,” katanya.

Ismail berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast