KUALA LUMPUR – Pegawai kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), J Soosaimanicckam menolak tiga kali cadangan membuat laporan sakit dan mendapatkan rawatan meskipun mula kelihatan lemah pada 19 Mei 2018.

Itu antara pernyataan saksi plaintif kelima, Leftenan TS. Rashwin A/L Rajendran di Mahkamah Sesyen, hari ini.

Katanya, ketika kejadian beliau selaku Leftenan Muda pada ketika itu bertanggungjawab mengawasi pelaksanaan aktiviti latihan dan rutin harian para kadet di Pangkalan Tentera Laut KD Sultan Idris di Lumut, Perak.

Jelas beliau, pada jam 11 pagi Soosaimanicckam yang mengikuti latihan bertemu dengannya meminta masa untuk berehat seketika.

“Saya membenarkan si mati duduk di kerusi batu bersebelahan. Semasa si mati berehat, saya mendapati si mati terlalu senyap dan kelihatan sedikit lemah. Saya telah bertanya dan mencadangkan kepada si mati samad ada beliau ingin melapor sakit dan mendapatkan rawatan.

“Si mati menolak cadangan saya tersebut sebanyak tiga kali. Namun begitu saya cuba menawarkan kepada si mati untuk bawa si mati berjalan-jalan menaiki kereta di luar pusat latihan, pada ketika itu si mati teruja dan setuju,” katanya.

Rashwin berkata, semasa menunggu untuk membawa mendiang ke Hospital Angkatan Tentera Lumut (HATL) beliau dimaklumkan keadaan Soosaimanicckam yang lemah dan terpaku di bilik air.

Tambahnya, beliau melihat sendiri ada cecair keluar dari mulut mendiang yang berjalan perlahan menuju ke kereta sebelum ke hospital.

“Saya dengan segera mengarahkan rakan-rakan si mati untuk membantu mempersiapkan si mati untuk dibawa ke HATL bagi mendapatkan rawatan. Saya melihat si mati telah berjalan secara perlahan dari bilik penginapan ke kereta yang terletak di hadapan foyer blok penginapan.

“Lebih kurang tiga langkah sebelum sampai ke pintu belakang kereta, beliau telah rebah dan cecair mula keluar dari mulut si mati. si mati terus diangkat masuk ke dalam kereta,” katanya.

Rashwin kini merupakan Ketua Bahagian Kejuruteraan Depot Logistik Wilayah 3, Pangkalan TLDM Langkawi, Kedah.

Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan kematian Soosaimanicckam sebagai kes homisid dan punca kematian mangsa adalah akibat langsung daripada tindakan pegawai TLDM yang bertanggungjawab bagi latihan kadet menafikan rawatan perubatan kepadanya.

Bagaimanapun, keluarga mendiang mendakwa berlaku kecuaian di pihak defendan kerana gagal memberi rawatan kecemasan apabila mangsa rebah pada hari kejadian dan cuai dalam memantau kesejahteraan serta kesihatannya semasa sesi latihan. – MalaysiaGazette