MELAKA – Pemuda DAP Melaka menyambut baik pelaksanaan penguatkuasaan yang lebih ketat terhadap operasi pengayuh beca komersial di kawasan pelancongan negeri bermula tahun depan.
Ketuanya, Cassel Krishnan berkata, keputusan kerajaan yang mensyaratkan ‘duta’ kecil pelancongan itu supaya mematuhi penggubalan peraturan baharu Undang-Undang Kecil (UKK) Beca Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) 2024 sebagai tepat pada masanya.
Menurutnya, ia jelas membuktikan petisyen rakyat yang menekankan isu-isu berkaitan imej, pencemaran bunyi, dan reputasi beca Melaka sebelum ini didengari pemimpin.
“Inisiatif ini adalah langkah penting dan telah lama ditunggu-tunggu yang pastinya akan membawa manfaat kepada penduduk tempatan dan ahli-ahli perniagaan, terutamanya di zon pelancongan utama Melaka.
“Antara UUK khusus yang amat disambut baik ialah kewajipan untuk mengurangkan kelantangan pembesar suara yang dipasang atas beca,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Menurutnya, beca Melaka merupakan simbol ikonik bagi negeri Hang Tuah dan amat penting untuk kerajaan memelihara serta meningkatkan peranannya dalam industri pelancongan.
“Peraturan yang ketat adalah penting untuk memastikan pengalaman pelancong yang berkualiti tinggi, sambil menangani kebimbangan penduduk tempatan.
“Saya menggesa Datuk Bandar dan pegawai MBMB untuk melibatkan orang awam aktif apabila mereka membangunkan konsep beca Melaka yang diperbaharui,” katanya.
Cassel berkata, ini bagi memastikan ia mewakili sejarah dan budaya Melaka dengan tulen memandangkan beca telah diketengahkan dalam ikonografi untuk Tahun Melawat Melaka 2024.
“Jadi, adalah penting komuniti tempatan juga mempunyai suara dalam membentuk imej masa depannya sekali gus memastikan ia berkembang dengan cara yang saling menguntungkan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan lebih 170 pengayuh beca yang menjadi ikon pelancongan Melaka bakal berwajah baharu pada tahun hadapan.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman dilaporkan berkata, mereka akan dipanggil untuk ditemuduga dan disaring pada bulan Oktober sebelum diberikan lesen baharu pada Disember.
Usaha itu bagi menjaga kualiti pengayuh beca termasuk turut menerima pakaian seragam selain menggalakkan pemasangan lagu tradisional berkaitan Melaka. – MalaysiaGazette