Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan perbicaraan kes bekas Setiausaha Politik kepada Ketua Pembangkang iaitu Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad akan bermula 5 Mei tahun depan.

Perkara berkenaan ditetapkan oleh Hakim, Rosli Ahmad yang menyatakan perbicaraan dijangka berlangsung selama 12 hari iaitu 5 hingga 8 Mei; 26 hingga 29 Mei dan 23 hingga 26 Jun 2025.

Dalam masa yang sama, mahkamah hari ini turut menetapkan 18 Oktober 2024 sebagai tarikh pengurusan kes baharu.

Ia susulan permohonan daripada pihak pembelaan untuk mengemukakan representasi bagi mengkaji semula semula pertuduhan terhadap Sayed Amir.

Terdahulu, peguam Md Yunos Shariff berkata pihaknya akan mengemukakan permohonan tersebut dalam masa terdekat.

“Kami akan kemukakan (permohonan) pada bulan ini juga (September),” katanya Ketika ditemui.

Sebagai rekod, bekas Setiausaha Politik kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin itu pada 23 Mei lalu dihadapkan dengan dua tuduhan menerima suapan RM350,000 berhubung tender perkhidmatan penyelenggaraan dan pembekalan alat ganti peralatan, empat tahun lalu.

Walaubagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah atas kedua-dua tuduhan itu.

Mengikut dua pertuduhan, lelaki itu didakwa menerima wang rasuah masing-masing RM100,000 dan RM250,000 daripada Pengarah Urusan Syarikat Nexuscorp Group Sdn Bhd, Wan Azhar Mohamed Yusof.

Wang berkenaan diterimanya sebagai upah untuk membantu syarikat tersebut mendapatkan tender Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pembekalan Alat Ganti Bagi Peralatan Infrastruktur, Server, Perisian dan Radio Pengguna Sistem RMPNET Untuk Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Kementerian Dalam Negeri bernilai lebih RM380 juta.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Yayasan Tanah Aku, di Solaris Dutamas Jalan Solaris Dutamas, di sini pada 4 dan 16 Disember 2020.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun.

Ia termasuk didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.-MalaysiaGazette