Sejumlah 58,000 liter minyak sawit mentah bernilai RM220,500 dirampas dalam Op Taring Palma di sebuah stor di Permas Jaya, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Sejumlah 58,000 liter minyak sawit mentah bernilai RM220,500 dirampas dalam Op Taring Palma di sebuah stor haram di Permas Jaya di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, serbuan berkenaan dilakukan mulai 12.30 tengah malam tadi sehingga 10.18 pagi tadi.

Menurutnya, serbuan itu dilakukan dianggotai sepasukan pegawai dan anggota polis dari cawangan risik Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Bukit Aman bersama-sama tiga pegawai penguat kuasa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Johor.

“Hasil serbuan terbabit, polis merampas tiga treler tidak bernombor yang mengandungi minyak sawit mentah jenis Crude Palm Oil (CPO) dengan anggaran kapasiti sebanyak 58,000 litter.

“Barangan rampasan lain termasuk dua unit mesin pam, menara boiler, jentera angkat susun, alat penimbang dan sebuah lori,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Menurutnya, semua hasil rampasan dianggarkan bernilai RM465,111 manakala anggaran nilai minyak sawit mentah berjumlah RM220,500.

Dalam serbuan terbabit tidak membabitkan sebarang tangkapan kerana tiada penghuni atau penjaga berada di tempat kejadian ketika serbuan dilakukan.

Semua barang rampasan diserahkan kepada MPOB Johor Bahru untuk tindakan lanjut, katanya.

Raub berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 78 Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (akta 582) yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM250,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Beliau berkata, kes juga disiasat di bawah peraturan 5 perenggan 5(1)(b) iaitu mengalih minyak sawit tanpa lesen dan kesalahan di bawah peraturan 5(1)(d) iaitu menyimpan minyak sawit tanpa lesen yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM200,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahu atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Dearah Johor Bahru Selatan di 07-218 2323,” katanya.- MalaysiaGazette